Perkahwinan Kanak-kanak: Adakah Kata-kata Wakil Rakyat Disalah Petik?

Parlimen berbahas.

Media menulis berita. Ada yang percaya terus.

Ada yang membidas media yang menulis tajuk berita yang mengelirukan. Ia menjadi tular. Ada yang percaya terus.

Jadi saya perlu lihat sidang parlimen itu sendiri, video perbahasan parlimen pada 4 April 2017 sesi petang.

Wakil Rakyat Kulai Teo Nie Ching membentang cadangan untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak (13 minit) dan Wakil Rakyat Tasek Gelugor Shabudin Yahaya membalas (22 minit 44 saat).

Tajuk berita yang dikatakan mengelirukan adalah daripada ‘The Star’ dengan tajuknya (diterjemah) ‘Wakil Rakyat: Perogol boleh berkahwin dengan mangsa, malah sesetengah kanak-kanak berumur 9 tahun boleh berkahwin’. Berikut adalah transkripnya:

Tasek Gelugor: Dan dia sudah mencapai akil baligh daripada umur 9 dan dia umur 12 tahun dengan keadaan tubuh badan yang sama seperti umur 18 tahun. Maknanya dari segi fizikal dan juga dari segi spiritualnya juga tidak menjadi satu halangan untuk dia berkahwin.

Tasek Gelugor: Yang paling penting ialah bila melalui satu proses keinsafan, ya, proses mereka bertaubat. Orang berzina orang rogol ni tetap kesalahan jenayah. Tetapi mereka ini, mereka, mereka mempunyai satu peluang, mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan lain yang lebih sihat, yang lebih baik. Dan seorang isteri yang dirogol tadi, ya, kalau dia dapat berkahwin, dia tidak akan, dia tidak akan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap. Sekurang-kurangnya dia ada, ya, sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh, boleh menjadi suami dia, itu adalah satu remedy kepada masalah-masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita.

Maka adakah tajuk berita tadi tidak tepat? Buatlah kesimpulan anda sendiri. Jika dikhuatiri saya memetik kata-kata di luar konteks, keseluruhan video tersebut boleh dirujuk. Klik sahaja mana-mana pautan di atas (kesemua pautan merujuk kepada video sama, cuma pada selang waktu berlainan).

Untuk meringkaskan apa yang dikatakan oleh Wakil Rakyat Kulai Teo Nie Ching (yang sepatutnya menerima lebih liputan berbanding apa yang dikatakan oleh Wakil Rakyat Tasek Gelugor Shabudin Yahaya), di bawah undang-undang Malaysia, kanak-kanak tidak dianggap matang atau arif untuk berfikir untuk diri sendiri untuk memandu, atau merokok, atau meminum arak, atau mengundi. Maka mengapakah pula mereka boleh berkahwin? Dia menceritakan kisah menyayat hati seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang diperkosa oleh tiga lelaki, membuat laporan polis, kemudian ibubapa kanak-kanak ini ditekan oleh ibubapa salah seorang penjenayah tadi untuk menarik balik laporan polis tadi dan mengahwini mereka berdua. Mereka bercerai hanya beberapa hari sebelum ulangtahun pertama mereka. Allah lebih tahu apakah nasib dia sekarang. Kemudian, Wakil Rakyat tadi, merayu kepada Dewan, bukan sebagai seorang pembangkang ataupun sebagai seorang bukan Islam, tetapi sebagai seorang ibu.

Benar, perkahwinan kanak-kanak dan jenayah seksual adalah isu berlainan. Jika fokus hanya kepada perkahwinan kanak-kanak, bagaimanakah perkahwinan kanak-kanak bawah umur 16 tahun boleh dibenarkan (perkahwinan kanak-kanak bawah umur 16 tahun sebenarnya dilarang oleh undang-undang sivil tetapi boleh diluluskan oleh mahkamah Syariah, yang rupanya telah meluluskan beribu perkahwinan seperti ini) apabila seks dengan kanak-kanak bawah umur 16 tahun dikira sebagai rogol statutori (statutory rape)?

Jika mereka berkahwin, mereka akan melakukan hubungan seks. Walaupun si suami adalah baik dan berjanji untuk menahan diri daripada hubungan seks sehinggalah isterinya cukup umur (satu lagi soalan, bilakah boleh dikira cukup umur untuk seks?) si suami tidak akan melanggar apa-apa undang-undang jika dia melakukan hubungan seks dengan isteri bawah umurnya itu. Si suami tidak akan dapat menahan nafsu pedofilianya.

Kemajuan bidang perubatan kita telah membuktikan bahawa walaupun seorang kanak-kanak perempuan telah bermula haid, bermakna secara biologi dia sudah boleh mengandung, ini tidak bermakna ia adalah sihat untuk dia mengandung pada umur begitu muda. Tetapi paling penting sekali ialah kesejahteraan hidupnya dan pendidikannya. Kanak-kanak sebegitu muda sepatutnya berada di sekolah rendah atau sekolah menengah, dijaga dan disayangi oleh ibubapa atau penjaga, dan memenuhi potensinya. Isteri bawah umur adalah lebih tinggi kemungkinan untuk tidak menyambung persekolahan, apatah lagi mencapai cita-cita. Mereka juga mungkin didera, memandangkan mereka hanyalah kanak-kanak dan sudah dipisahkan dari ibubapa atau penjaga.

Tapi mengapa kita perlu kisah? Kita hidup serba cukup, mereka wakil rakyat juga hidup serba cukup. Kita dan mereka sangat rendah kemungkinan untuk mengalami situasi di mana anak-anak perempuan dikahwinkan pada umur sebegitu muda.

Isteri-isteri bawah umur ini, sesetengah mereka mungkin sedang membasuh pinggan mangkuk atau sedang menyusukan bayi mereka pada ketika rakan-rakan mereka berada di sekolah, mereka tidak tahu apa yang dibahaskan di parlimen. Mereka tidak tahu jika cadangan ini diluluskan menjadi undang-undang, ia boleh mencegah kanak-kanak lain untuk melalui nasib sama seperti mereka.

Dan akhir kata, nabi dan rasul kita Muhammad ﷺ tidak berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur. Itu adalah penipuan semata-mata yang berjuta orang percaya dan jadikan perkahwinan kanak-kanak sah.

Nota kaki: 24,393 orang mengundi Shabudin Yahaya pada 5 Mei 2013, memberikan beliau kerusi parlimennya Tasek Gelugor.