Perkahwinan Kanak-kanak: Adakah Kata-kata Wakil Rakyat Disalah Petik?

Parlimen berbahas.

Media menulis berita. Ada yang percaya terus.

Ada yang membidas media yang menulis tajuk berita yang mengelirukan. Ia menjadi tular. Ada yang percaya terus.

Jadi saya perlu lihat sidang parlimen itu sendiri, video perbahasan parlimen pada 4 April 2017 sesi petang.

Wakil Rakyat Kulai Teo Nie Ching membentang cadangan untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak (13 minit) dan Wakil Rakyat Tasek Gelugor Shabudin Yahaya membalas (22 minit 44 saat).

Tajuk berita yang dikatakan mengelirukan adalah daripada ‘The Star’ dengan tajuknya (diterjemah) ‘Wakil Rakyat: Perogol boleh berkahwin dengan mangsa, malah sesetengah kanak-kanak berumur 9 tahun boleh berkahwin’. Berikut adalah transkripnya:

Tasek Gelugor: Dan dia sudah mencapai akil baligh daripada umur 9 dan dia umur 12 tahun dengan keadaan tubuh badan yang sama seperti umur 18 tahun. Maknanya dari segi fizikal dan juga dari segi spiritualnya juga tidak menjadi satu halangan untuk dia berkahwin.

Tasek Gelugor: Yang paling penting ialah bila melalui satu proses keinsafan, ya, proses mereka bertaubat. Orang berzina orang rogol ni tetap kesalahan jenayah. Tetapi mereka ini, mereka, mereka mempunyai satu peluang, mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan lain yang lebih sihat, yang lebih baik. Dan seorang isteri yang dirogol tadi, ya, kalau dia dapat berkahwin, dia tidak akan, dia tidak akan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap. Sekurang-kurangnya dia ada, ya, sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh, boleh menjadi suami dia, itu adalah satu remedy kepada masalah-masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita.

Maka adakah tajuk berita tadi tidak tepat? Buatlah kesimpulan anda sendiri. Jika dikhuatiri saya memetik kata-kata di luar konteks, keseluruhan video tersebut boleh dirujuk. Klik sahaja mana-mana pautan di atas (kesemua pautan merujuk kepada video sama, cuma pada selang waktu berlainan).

Untuk meringkaskan apa yang dikatakan oleh Wakil Rakyat Kulai Teo Nie Ching (yang sepatutnya menerima lebih liputan berbanding apa yang dikatakan oleh Wakil Rakyat Tasek Gelugor Shabudin Yahaya), di bawah undang-undang Malaysia, kanak-kanak tidak dianggap matang atau arif untuk berfikir untuk diri sendiri untuk memandu, atau merokok, atau meminum arak, atau mengundi. Maka mengapakah pula mereka boleh berkahwin? Dia menceritakan kisah menyayat hati seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang diperkosa oleh tiga lelaki, membuat laporan polis, kemudian ibubapa kanak-kanak ini ditekan oleh ibubapa salah seorang penjenayah tadi untuk menarik balik laporan polis tadi dan mengahwini mereka berdua. Mereka bercerai hanya beberapa hari sebelum ulangtahun pertama mereka. Allah lebih tahu apakah nasib dia sekarang. Kemudian, Wakil Rakyat tadi, merayu kepada Dewan, bukan sebagai seorang pembangkang ataupun sebagai seorang bukan Islam, tetapi sebagai seorang ibu.

Benar, perkahwinan kanak-kanak dan jenayah seksual adalah isu berlainan. Jika fokus hanya kepada perkahwinan kanak-kanak, bagaimanakah perkahwinan kanak-kanak bawah umur 16 tahun boleh dibenarkan (perkahwinan kanak-kanak bawah umur 16 tahun sebenarnya dilarang oleh undang-undang sivil tetapi boleh diluluskan oleh mahkamah Syariah, yang rupanya telah meluluskan beribu perkahwinan seperti ini) apabila seks dengan kanak-kanak bawah umur 16 tahun dikira sebagai rogol statutori (statutory rape)?

Jika mereka berkahwin, mereka akan melakukan hubungan seks. Walaupun si suami adalah baik dan berjanji untuk menahan diri daripada hubungan seks sehinggalah isterinya cukup umur (satu lagi soalan, bilakah boleh dikira cukup umur untuk seks?) si suami tidak akan melanggar apa-apa undang-undang jika dia melakukan hubungan seks dengan isteri bawah umurnya itu. Si suami tidak akan dapat menahan nafsu pedofilianya.

Kemajuan bidang perubatan kita telah membuktikan bahawa walaupun seorang kanak-kanak perempuan telah bermula haid, bermakna secara biologi dia sudah boleh mengandung, ini tidak bermakna ia adalah sihat untuk dia mengandung pada umur begitu muda. Tetapi paling penting sekali ialah kesejahteraan hidupnya dan pendidikannya. Kanak-kanak sebegitu muda sepatutnya berada di sekolah rendah atau sekolah menengah, dijaga dan disayangi oleh ibubapa atau penjaga, dan memenuhi potensinya. Isteri bawah umur adalah lebih tinggi kemungkinan untuk tidak menyambung persekolahan, apatah lagi mencapai cita-cita. Mereka juga mungkin didera, memandangkan mereka hanyalah kanak-kanak dan sudah dipisahkan dari ibubapa atau penjaga.

Tapi mengapa kita perlu kisah? Kita hidup serba cukup, mereka wakil rakyat juga hidup serba cukup. Kita dan mereka sangat rendah kemungkinan untuk mengalami situasi di mana anak-anak perempuan dikahwinkan pada umur sebegitu muda.

Isteri-isteri bawah umur ini, sesetengah mereka mungkin sedang membasuh pinggan mangkuk atau sedang menyusukan bayi mereka pada ketika rakan-rakan mereka berada di sekolah, mereka tidak tahu apa yang dibahaskan di parlimen. Mereka tidak tahu jika cadangan ini diluluskan menjadi undang-undang, ia boleh mencegah kanak-kanak lain untuk melalui nasib sama seperti mereka.

Dan akhir kata, nabi dan rasul kita Muhammad ﷺ tidak berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur. Itu adalah penipuan semata-mata yang berjuta orang percaya dan jadikan perkahwinan kanak-kanak sah.

Nota kaki: 24,393 orang mengundi Shabudin Yahaya pada 5 Mei 2013, memberikan beliau kerusi parlimennya Tasek Gelugor.

Demokrasi: Pilihlah Dengan Bijak

Pilihanraya sebelum ni, saya dah leh mengundi, tapi tatau nak undi siapa, dua-dua rosak, korup, undi mana-mana pon sama je, takde beza idup saya.

Tapi skang saya pikir balik, tu namanya tak amik peduli. Ada sangat banyak benda leh amik tau tentang politik ni. Saya memang tak suka politik, tapi lama-lama saya belajar yang kita memang tak leh lari dari politik. Politik mempengaruhi hidup kita.

Nasib baik, negara tercinta kita Malaysia mengamalkan demokrasi, jadi kita ada pilihan untuk mengundi. Nama sebenar atau nama rasmi Korea Utara ialah Republik Demokratik Rakyat Korea, maksudnya sebenarnya diorang ialah negara demokrasi, tapi rakyat diorang tak pernah gi mengundi, sebab memang mustahil untuk jadi pembangkang. Sesiapa leh jadi parti pembangkang kalau nak, tapi silap-silap nanti akan disabitkan kesalahan apa-apa – mungkin hasutan atau derhaka ke – pas tu kene tido masa musim sejuk atas lantai simen.

Tapi Malaysia kita pon lom mengamalkan demokrasi yang sejati. Mengikut Economist Intelligence Unit (terjemahannya ialah Unit Perisik Ekonomi) yang berpusat di London, Malaysia ni masih kategori ‘demokrasi cacat’ atau ‘demokrasi tempang’, tangga ke-64 dalam Indeks Demokrasi, lebih teruk dari Timor Timur, Indonesia atau Thailand. Saya ada pendapat sendiri tentang benda ni, tapi tu nanti dulu. (Tatau la kalau saya sempat kongsi pendapat saya ni sebelum pilihanraya, tatau la kalau saya leh cukup disiplin untuk menulis ngan istiqamah, tengok la macam mana.)

Tapi, katakan la, demokrasi kat negara kita ni sempurna (saya suka merujuk Malaysia sebagai negara ‘kita’, saya main anggap je yang pembaca saya semua rakyat Malaysia, tapi kalau bukan, anggap je yang korang pon rakyat Malaysia, saya pon akan sangat mengalu-alukan), katakan pilihanraya kita bersih dan adil, sumorang turun untuk mengundi, badan kehakiman kita bebas, kebebasan bersuara dihormati sepenuhnya. Soalan pas tu ialah, macam mana rupa kerajaan yang dipilih?

Demokrasi ni serupa Akademi Fantasia (kalau korang biasa ngan rancangan realiti kat Malaysia ni) atau American Idol atau apa-apa rancangan realiti yang bagi kuasa penuh kat penontonnya untuk memilih. Pemenang rancangan tu tak semestinya penyanyi yang terbaik (atau pelawak atau tukang masak atau apa-apa la) tapi dia memang kompem yang paling popular la. Memang takde ukuran tepat betapa bagusnya seorang penyanyi tu – terlalu subjektif. Penyanyi yang bagus bukan sekadar kat suara je, tapi penampilan pon kira, persembahan, pilihan lagu yang sesuai dengan suara, kebolehan main alat muzik, karisma, keterampilan kepada media dan banyak lagi. Bergantung kepada apa yang penonton nak, lain la keputusannya. Kalau semua penonton satu rancangan realiti ni lelaki, leh kata tinggi kebarangkalian yang menangnya ialah awek.

Sama la macam nak pilih parti politik. Banyak sangat kriteria untuk mengukur kecekapan satu-satu parti tu nak mentadbir negara. Parti mana akan memastikan harmoni, perpaduan, keamanan, kestabilan, ketelusan, kesamaan, keadilan, kadar jenayah rendah untuk negara, dan pada masa yang sama, beretika, berakhlak, amanah, rendah diri? Demokrasi hanya leh pilih apa yang rakyat nak, dan tak semestinya rakyat akan memilih yang terbaik.

Contohnya, saya ada masalah besar ngan diskriminasi kaum kat negara saya. Diskriminasi kaum ni bukan sekadar sah dari segi undang-undang, bahkan ada termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi kalau majoriti pengundi Malaysia bersifat perkauman, memang taktik bagus la untuk parti-parti bertanding guna semangat perkauman ni untuk manfaat diorang. Kalau ada mana-mana pihak yang bantah diskriminasi kaum secara terang-terangan, makin tipis la peluang diorang nak menang. Agak ketara, dua-dua belah tak sebut pon dalam manifesto – secara tak rasmi pon takde – tentang kalau diorang menang lebih dua pertiga Parlimen, diorang akan cuba meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menyingkirkan apa-apa bentuk keutamaan perkauman atau berat sebelah. Sebab kalau ya pon semua bukan Bumiputera undi diorang, ada kebarangkalian semua Bumiputera tak akan undi diorang, diorang tetap akan kalah. Jadi, daripada, “Kami akan memperjuangkan hak samarata antara Bumiputera dan bukan Bumiputera,” lebih selamat diorang cakap, “Kami prihatin terhadap kebajikan Bumiputera dan juga bukan Bumiputera.”

Satu lagi contoh, pernah dengar prinsip Pareto, atau hukum Pareto? Katakan ada satu negara ni di mana 20% penduduk – golongan elit – menikmati 80% kekayaan negara, yang baki 80% penduduk lak dapat merasai cuma 20% kekayaan negara. Kalau ada satu parti ni janji nak bagi banyak subsidi kat golongan 80% ni, janji potong cukai macam-macam, dan ramai lak yang percaya janji-janji tu memang berguna untuk diorang dan undi parti tu, parti tu leh menang, walaupon mungkin apa parti tu buat bukan kepentingan terbaik untuk ekonomi negara tu.

Ni la cara demokrasi berfungsi. Sumorang ada hak bersuara samarata. Takde siapa leh cakap, “Aku ada ijazah, aku lagi berpendidikan, aku patut leh bagi lebih undi dari mat ganja ke, mat rempit ke.” Apa saya nak cakap, demokrasi ni, walau di tahap paling tinggi, hanya sebagus rakyat yang mengundi.

Jadi pilih la betul-betul. Kena tau apa yang kita nak, pas tu kita akan tau siapa nak undi. Saya pernah cakap dulu, “Aku undi parti ni ke, parti tu ke, apa bezanya?” Saya salah, memang ada perbezaan saya leh buat. Saya cuma perlu bukak mata dan lihat perbezaan antara diorang.

How democracy works