Negara Hikayat

Pada suatu masa dahulu, ada sebuah negara yang mempunyai rakyat yang baik-baik belaka, tapi berbilang pendapat. Ungkapan yang mereka sering guna lebih-lebih lagi untuk menunjukkan peradaban mereka ialah, “Agree to disagree,” mereka bersetuju untuk tidak bersetuju.

Maka mereka mencipta demokrasi. Masyarakat majmuk pendapat ini memberi suara mereka tentang pelbagai perkara, adakah kesihatan satu hak atau perlu dibeli, bolehkah masjid membina menara, adakah lelaki dewasa boleh berkahwin dengan kanak-kanak perempuan. Mereka juga menetapkan peraturan bahawa undi mestilah rahsia, kerana jika undi angkat tangan, ramai akan mengundi bukan mengikut pendapat sendiri, tapi mengikut apa yang mereka rasa orang lain mahukan mereka undi.

Satu lagi peraturan yang mereka tetapkan ialah setiap pengundi hanya boleh mengundi sekali untuk setiap keputusan yang ingin dibuat. Ini memerlukan senarai rakyat yang boleh mengundi (mereka bersetuju kanak-kanak tidak boleh mengundi, kalau tidak, mungkin mereka akan mengisytiharkan piza adalah hak dan tidak perlu dibeli) dan juga memerlukan satu suruhanjaya yang menjaga senarai itu. Pada awalnya, rakyat perlu mendaftar untuk menjadi pengundi.

Tapi peraturan-peraturan ini – yang undi adalah rahsia dan juga setiap individu boleh mengundi hanya sekali sahaja dan bukan seperti undian internet yang tidak memerlukan log masuk apa-apa akaun – menyusahkan rakyat dan suruhanjaya pilihanraya. Maka mereka bersetuju (atau lebih tepat lagi, majoriti bersetuju) untuk memberi amanah kepada wakil rakyat untuk membuat pilihan untuk mereka.

Mereka menggunakan sistem paling mudah yang boleh difikirkan: Mereka membahagi tanah dan setiap kawasan akan mempunyai wakil rakyat. Siapa paling banyak undi menang kerusi untuk menjadi wakil rakyat. Wakil rakyat itu, seperti gelaran mereka, hendaklah mewakili rakyat kawasan mereka. Hiruk-pikuklah dewan rakyat berbincang pelbagai isu di pelosok negara. Mereka mula menyedari lebih senang untuk mendapat kata sepakat bila mereka mempunyai sekutu. Mereka mula berkelompok dan menubuhkan persatuan yang (atas sebab yang tidak diketahui) dipanggil parti.

Namun sistem berparti ini mulai melemahkan wakil bebas, dan lama-kelamaan wakil bebas hampir tidak akan memenangi kerusi. Rakyat takut mengundi wakil bebas, kerana mereka tidak mahu parti tertentu mendapat kuasa, maka mereka mengundi parti yang mereka kurang benci, begitu juga pihak satu lagi (padahal mungkin jika mereka betul-betul mengundi ikut kata hati, wakil bebas itu mempunyai peluang).

Mereka yang dipanggil wakil rakyat ini pula semakin kurang mewakili rakyat dan semakin mewakili parti mereka.

Suruhanjaya pilihanraya berpendapat wakil rakyat tidak perlu lagi mewakili kawasan mereka, dan hanya perlu mewakili keseluruhan rakyat negara itu. Oleh itu, pengundi tidak perlu lagi membazir wang dan masa untuk pulang ke tempat undian mereka. Suruhanjaya pilihanraya juga semakin moden, kerana sudah ada akta yang mewajibkan semua rakyat perlu berdaftar dengan jabatan pendaftaran negara, maka suruhanjaya pilihanraya menggunakan senarai nama rakyat yang sudah sedia ada dan setiap individu yang memenuhi syarat sebagai pengundi (dewasa, waras, masih hidup) akan secara automatik dimasukkan dalam senarai pengundi.

Suruhanjaya pilihanraya juga faham bahawa bukan askar dan polis sahaja yang bekerja sepanjang waktu, tetapi begitu juga doktor, jururawat, juruteknik operasi loji atau pelantar atau kilang, pekerja 7-Eleven atau restoran mamak (bertaraf warganegara), dan ramai lagi. Oleh itu, suruhanjaya pilihanraya menetapkan satu lagi tarikh alternatif untuk adiwira-adiwira negara ini mengundi. Suruhanjaya pilihanraya juga memahami bahawa bukan semua rakyat faham hak mereka bahawa majikan wajib melepaskan mereka untuk mengundi, maka mereka menetapkan tarikh sesuai yang tidak membebankan rakyat untuk mengundi.

Namun, walaupun negara ini aman harmoni dan mempunyai suruhanjaya pilihanraya yang empati dan memahami, rakyat negara ini masih rasis dan takutkan warga asing kononnya akan mengambil peluang kerja mereka. Maka warga asing masih dikepung, ditangkap, dilayan tanpa rasa hormat dan tidak diberi peluang mengundi.