Tiada siapa mahu dengar kisah kematian jutaan orang

Stalin kononnya pernah berkata, “Satu kematian adalah tragedi. Jutaan kematian adalah statistik.”

Tak tahulah jika dia benar-benar katakan sebegitu. Bak kata Lincoln, “Jangan percaya semua yang ada di internet.” Tetapi kandungan kata-kata itu sangat benar. Isu-isu yang tular semuanya perlukan hubungan emosi. Kisah seorang bakal pengantin yang maut dalam kemalangan jalanraya lebih mendapat perhatian berbanding berkata, “Memandu adalah 750 kali lebih berkemungkinan untuk mati berbanding menaiki kapal terbang.”

Pembantu rumah Indonesia yang mati didera. Pembantu rumah yang disepak yang bukan yang mati. Keluarga yang gelandangan dan tinggal dalam kereta. Lubang di jalanraya yang terbaiki dengan ajaibnya setelah dibaca doa.

s1

Apabila kisah pembantu rumah Indonesia itu tersebar (atau kisah bayi berumur 46 hari yang juga maut diseksa, atau kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun yang juga maut diseksa), orang ramai berang. Mereka patut dikenakan hukuman mati. Masalahnya, saya percaya apa-apa yang jadi berita hanyalah, bak kata pepatah Inggeris, tip of the iceberg. Bagi setiap kematian pembantu rumah, ramai lagi yang tak masuk berita. Begitu juga kanak-kanak yang didera, diseksa atas nama ‘mendidik’ atau ‘mendisiplin’. Bayangkan, saat anda membaca ini, sekarang, ada kanak-kanak yang dipukul tetapi ‘bernasib baik’ belum mati, atau mungkin ada yang sudah mati tetapi tidak dijalankan bedah siasat maka tiada siapa tahu apa mereka lalui.

Mungkin ada pembantu rumah lain yang dipukul, atau ‘hanya’ gaji ditahan, atau ‘hanya’ tidak dibenarkan menghubungi keluarga, atau ‘hanya’ pasport mereka dipegang. Bagaimana jika majikan kita lakukan sebegini terhadap kita?

Keluarga gelandangan tadi mendapat banyak bantuan. Saya harap mereka akan kembali hidup seperti asalnya. Tetapi banyak lagi yang seperti mereka. Ada yang lahir dalan kepapaan dan tidak pernah merasa bagaimana hidup ‘biasa’. Ada pula yang pernah ada kehidupan biasa, tetapi perkara malang berlaku dan mereka jatuh ke dalam lubang yang mereka tidak boleh keluar dengan sendiri.

Pihak yang bertanggungjawab membaiki jalanraya mempunyai banyak kerja. Ada banyak lubang. Dan bukan semuanya dilaporkan kepada mereka. Saya rasa lebih banyak ‘laporan’ adalah di media sosial. Mereka mungkin perlu membuat carian ‘lubang jalanraya’ di Facebook, Twitter, Instagram. Walau begitu sekalipun, bukan semua orang akan tulis ‘lubang jalanraya’. Mungkin ada yang menulis tentang, “Lihat apa jadi kepada kereta saya,” padahal mereka maksudkan lubang jalanraya.

Masalahnya bukan menurap lubang-lubang ini. Masalahnya pembinaan jalanraya. Atau kenderaan berat yang tidak diberi jalan yang sepatutnya. Mungkin jalanraya itu tiada spesifikasi. Atau mungkin ada spesifikasi tetapi tidak dipatuhi. Atau mungkin jalanraya itu bukan untuk lori. Atau mungkin kebanyakan lori lebih muatan.

Majikan kepada pembantu rumah yang didera bukanlah masalahnya. Masalahnya ialah sistem tersebut. Ketika zaman perhambaan, mungkin ada yang berkata, “Tuan itu terlalu kejam terhadap hamba-hambanya, kami tidak akan sekali-kali berbuat sedemikian terhadap hamba-hamba kami.” Masalahnya bukan tuan itu, masalahnya ialah sistem perhambaan yang membolehkan tuan-tuan menjadi kejam. Jika anda seorang pembantu rumah, doalah anda mendapat majikan yang baik hati. Kalau tidak, mungkin anda perlu jangka yang anda mungkin tidak dapat bercakap dengan anak sendiri untuk berbulan-bulan, atau tidak balik kampung ketika musim perayaan, atau apa-apa yang lebih teruk.

Kita boleh selesaikan masalah bila dia datang. Atau kita boleh menghalangnya. Daripada merawat setiap pesakit hepatitis B, apa kata kita beri semua orang vaksin? Daripada membantu setiap orang atau keluarga gelandangan, apa kata kita basmikan kemiskinan? Daripada kita gantung setiap pembunuh sampai mati, apa kita kita cegah kes dera?

Saya tidak ada jalan penyelesaian untuk semua, tetapi inilah peranan penggubal undang-undang, atau ahli parlimen. Mereka ada wang rakyat. Mereka boleh membuat polisi yang boleh menaiktarafkan hidup jutaan rakyat. Kita tidak perlukan mereka untuk menghadiahkan kita baju T-shirt atau ayam atau tambang balik untuk mengundi. Kita perlukan mereka untuk membuat polisi yang boleh menolong hidup rakyat.